Total Pageviews

Tuesday 20 September 2011

Selamat Pagi Cinta

'Seindah Warna Pelangi' pena hatiku,


senang rasanya dapat memulakan hari dengan berkongsi rasa dengan kau sahabat yang paling memahami. Mudah-mudahan kau akan kekal begitu, sehinggalah tangan ini sudah tidak bernyawa untuk menyelak lembaran baru lagi nanti di dadamu 'Seindah Warna Pelangi'.


Selamat pagi buat semua. Di pagi yang indah nan permai ini, aku hadiahkan doa sebagai pembuka bicaraku untuk hari ini.


"Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, dari kejahatan apa yang terjadi..."
[Doa di waktu pagi dan petang]

Hariku tetap setia bermula segar dengan sinar fajar yang seolah berjanji pada alam, adanya seribu satu kejadian di bawah satu kuasa yakni yang Maha Esa. Aku, dengan sebuah kesyukuran bangkit dari tempat tidur, gembira tapi malas mungkin juga bosan kerana rutin-rutin harianku bermula lagi. Namun doa tetap ku panjat pada Ilahi kerana masih lagi memberikan ruang dan peluang untukku terus menghirup udara segar untuk ke sekian kalinya. Harapanku agar hari ini adalah lebih baik dari semalam. Amin...

'Seindah Warna Pelangi' ku,
Sesudah bangun tadi diiringi dengan sebuah doa bangun tidur yang ringkas, seperti biasa aku harus melangkah untuk menukilkan sebuah lagi nukilan dalam kehidupanku. Bukankah kehidupan sebuah lakonan??? Ahh,,, pagi-pagi yang dipenuhi dengan buku-bukuan yang penuh diatas meja, sinonim bagi rutinku sebagai seorang mahasiswa universiti. Tambahan pula, peperiksaan semester ku bakal menjelang tiba. Doakan aku berjaya. InsyaAllah. 

Hai 'Seindah Warna Pelangi', tinta hatiku,
Sesudah aku menelaah pelajaran tadi, aku pun mengayun langkah  keluar dari rumah bagi menghirup udara nyaman pagi di hadapan rumahku. Ahh,, hiruk-pikuk di jalanraya sudah sedia memecahkan gegendang telingaku sejurus selepas aku mengayun langkahku itu. Walaupun telingaku agak bingit mendengarkan kebisingan kenderaan di jalanraya di hadapan rumahku dek kerana kekalutan mereka ke tempat kerja. Tidak kurang juga bagi mereka yang bergegas untuk ke sekolah. Namun, hakikatnya aku rindu dengan semua hiruk-pikuk ini. Walaupun adakalanya ia menyumbangkan irama pagi yang sumbang dan lagunya yang beralunkan kesibukan serta rentak kesempitan waktu, aku masih lagi leka dibuai irama sedemikian. Bagiku, sudah lama aku tidak mendengar irama begini. Iyalah, di kampus tempatku menimba ilmu, suasananya tidaklah begini sibuk dengan kenderaan yang lalu lalang kerana kebanyakan kami yang memilih untuk berjalan kaki ke kuliah. 

Sekian untuk pagi ini. Semoga hariku dan hidupku sentiasa di bawah pertolonganNya yang Maha Mengasihi.


مع السلامه والى اللقاء

nota kaki : exam menjelang, jerawat pown bertandang...ngeh3

1 comment: